Saturday, May 08, 2010

“Tidak Ada Paksaan Dalam Agama”


KATAKANLAH jika kita pergi ke sebuah negara. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengikut segala peraturan dan undang-undang di negara tersebut. Kita tidak dipaksa untuk pergi ke negara itu, cumanya kerajaan di negara itu membuat promosi untuk menarik perhatian kita untuk datang melawat melalui publisiti yang dilakukan. Tapi bila kita masuk sahaja ke negara tersebut, kita terikat dengan segala bentuk peraturan dan undang-undang yang ada di negara itu. Kita tidak boleh berbuat sesuka hati di negara orang lain. Bila kita melanggar undangundang, kita akan dibicara dan dijatuhkan hukuman menurut kesalahan yang dilakukan.

Petikan di atas diutarakan kerana hendak menarik perhatian kepada suatu perkara yang lebih besar dari itu. Yang mempunyai kaitan dengan kesan kita melafazkan kalimah syahadah. Inilah perkara yang sering berlaku. Walau pun lafaz syahadah telah diluahkan tapi masih melakukan sesuatu yang bertentangan dengan

pengakuan yang dilafazkan.. Sepatutnya apabila melafazkan kalimah syahadah, bermakna kita telah membebaskan diri dari segala bentuk pengabdian selain Allah. Kita kena ikut segala suruhan Allah dan pada masa yang sama meninggalkan larangan dan tegahan Allah. Syariat dan peraturan Allah perlu dipelihara dan dilaksana. Tapi ada pula yang buat apa yang Allah larang dan tinggal yang Allah suruh. Bila di tanya berbagai alasan diberikan. Hinggakan ada yang memberikan berbagai alasan yang menunjukkan kejahilan sendiri demi untuk terus melanggar perintah Allah itu. Kononnya ‘tidak ada paksaan dalam agama” (maksud surah al-Baqarah:256). Mereka menafsir kan tiada sesiapa boleh memaksa mereka dari melaksanakan ajaran Islam. Segala-galanya bergantung kepada kehendak mereka sendiri. Mereka bebas melakukan menurut penilaian nafsu.

Memang betul hakikatnya tidak ada paksaan untuk masuk Islam. Sebab itu dakwah yang dilakukan adalah untuk mengajak, bukan memaksa manusia beriman dengan Allah. Rasulullah saw pun ketika berdakwah tidak melakukan paksaan kepada ummatnya untuk menganut Islam. Mereka menerima Islam dengan kerelaan sendiri. Tapi harus diingat apabila kita menerima Islam bermakna seluruh hidup sanggup untuk bersama-sama mengikuti segala arahan, peraturan, syariat, undang undang dari Allah. Islam bukan pada nama semata-mata. Samalah halnya kalau kita pergi ke negara lain. Mahu tak mahu kita kena ikut peraturan negara tersebut.

Jadi bila kita menerima Islam bermakna kita rela menurut segala peraturan dan syariat yang terkandung dalam Islam. Jika kita engkar, jangan salahkan sesiapa jika kita menerima balasan dari Allah.

Sama seperti kita melanggar peraturan di sesebuah negara, kita tetap akan menerima hukuman juga. Cumanya undang-undang manusia yang menguasai sesebuah negara berbeza dengan undang-undang Allah yang mentadbir seluruh alam ini.

Justeru, fikir-fikirkanlah…Jika kita pergi ke negara lain, kita kena ikut peraturan di negara tersebut. Jika kita menerima Islam, bermakna kita kena ikut peraturan yang ada di dalam Islam.

No comments:

Post a Comment